Utama > Umum > Kemerdekaan di sisi agama

Kemerdekaan di sisi agama

Kemerdekaan di sisi Islam bukan suatu perkara yang mutlak. Hakikat kejadian manusia ialah ia tetap menjadi hamba kepada Penciptanya. Walaupun demikian penghambaan manusia kepada Allah s.w.t. bukanlah bermaksud bahawa manusia itu tidak mempunyai sebarang hak untuk menjalani kehidupan dengan rasa yang tenang dan bahagia.

 

Ia sama sekali tidak sama sebagaimana perhambaan manusia terhadap sesama manusia. Bahkan, apabila manusia berjaya menjadikan keseluruhan hidupnya sebagai suatu pengabdian kepada Allah s.w.t. bermakna dia telah menjadi seorang Muslim yang benar-benar merdeka.

 

Dalam erti kata lain, dia mempunyai daya pertahanan yang sangat kukuh daripada dipengaruhi atau dibelenggu oleh mana-mana pihak termasuklah dalam bentuk kuasa, pengaruh atau idea yang tidak boleh diterima oleh agama. Mungkin jasadnya terpenjara akan tetapi hati dan pemikirannya berpaut kepada prinsip-prinsip agama yang kukuh.

 

Kemerdekaan jiwa ini boleh dilihat bagaimana Nabi Ibrahim a.s. tidak berganjak sedikit pun dengan amaran yang dinyatakan oleh Raja Namrud untuk membakar baginda hidup-hidup sekiranya baginda tetap tidak mahu menerima berhala sebagai tempat untuk disembah.

Begitu juga dengan perkara yang berlaku ke atas Masyitah, tukang sisir rambut kepada puteri Firaun yang sanggup dicampak ke dalam air yang panas menggelegak bersama anaknya yang masih kecil  demi mempertahankan agama yang dianutinya.

 

Erti kemerdekaan yang sebenar bukanlah kemerdekaan secara fizikal semata-mata. Negara yang telah merdeka daripada sebarang penjajahan kuasa besar tidak bermakna sama sekali sekiranya memiliki rakyat yang tidak berjiwa merdeka.

 

Terpengaruh dengan cara hidup orang lain sedangkan ia bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan adat serta budaya yang selama ini didukung oleh agama – memberi erti pemikiran dan jiwa golongan yang masih belum merdeka.

 

Selaras dengan erti kemerdekaan di sisi Islam, piawaian kecemerlangan di sisi agama juga tidak sama sebagaimana yang diukur oleh manusia. Manusia meletakkan kecemerlangan dalam bentuk yang boleh dilihat atau dirasa. Sijil, ijazah, piala, pingat, trofi atau yang seumpama dengannya adalah bentuk-bentuk kecemerlangan di sisi manusia.

 

Kecemerlangan di sisi Allah lebih istimewa bentuknya dan boleh dijadikan cita-cita oleh semua individu. Tanpa mengira sama ada individu itu normal ataupun cacat, kaya ataupun miskin, sihat ataupun sakit, termasuklah pandai ataupun kurang akalnya.

 

Ini kerana kecemerlangan di sisi Allah s.w.t. dikira dari aspek usaha, niat dan kaedah yang digunakan dalam tindakan seseorang mencapai cita-citanya.

 

Cita-cita di sisi agama sebagai mekanisme kecemerlangan bukanlah sekadar mencapai satu fasa tertentu yang kemudiannya bersifat statik. Di sisi agama, cita-cita sebenarnya semangat yang sentiasa membara untuk terus menyumbang dalam bidang atau profesion yang disandang. Seseorang individu Muslim perlu menyumbang bukan sekadar disebabkan keyakinannya terhadap kualiti yang dimiliki, akan tetapi atas keyakinannya tentang peranannya sebagai seorang khalifah yang perlu menyumbang kepada agamanya.

 

Selaras dengan itu, individu Muslim yang merdeka dan cemerlang tidak akan berasa kecewa sekiranya usaha yang dilakukan hanya menemui kegagalan. Ini kerana tidak ada istilah putus asa dalam dirinya sebagaimana keyakinannya terhadap maksud firman Allah dalam ayat 139 surah ali-Imran yang berbunyi;

 

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamu adalah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman.”

 

Selain tidak berputus asa, Muslim yang memiliki jiwa merdeka dan cemerlang juga tidak akan mudah menyalahkan takdir kerana memahami inti pati firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud;

 

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapan dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi

Pegawai Penyelidik

Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik IKIM

 

Dengan pindaan Ustaz Mohamad Saifudin

 

 

Kategori:Umum
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: