Rumah > Zakat > Zakat sebagai alat dasar fiskal sesebuah kerajaan islam

Zakat sebagai alat dasar fiskal sesebuah kerajaan islam

Zakat sebagai salah satu arahan daripada Allah kepada manusia bukan sahaja di syariatkan kepada umat islam sebagai takaful sosial sahaja tetapi peranannya merangkumi ekonomi dan mampu mempengaruhi dasar-dasar negara. Dalam kerajaan islam zakat berperanan sebagai salah satu alat dasar fiskal. Peranan yang dimainkan samalah seperti sistem percukaian. Dalam dunia moden sekarang zakat dilihat penting dan sebagai pelengkap kepada dasar fiskal sesebuah negara islam dan boleh diletakkan sebaris dengan perbelanjaan negara dan cukai.

Zakat mempunyai beberapa kelebihan sebagai alat dasar fiskal dalam sesebuah sistem ekonomi berbanding cukai konvensional. Kelebihannya dapat dilihat dari dua sudut iaitu aspek ekonomi dan aspek sosial.

Dalam aspek ekonomi, antara kelebihannya ialah zakat lebih bersifat ekonomi dan keagamaan. Zakat dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam masa yang sama disertai nilai-nilai agama. Ekonomi yang berkembang dibawah kendalian dan diuruskan individu muslim yang jujur dan patuh kepada ajaran islam. Kepatuhan membayar zakat adalah disebabkan arahan agama islam. Sementara membayar cukai adalah sebagai menuruti arahan pemerintah atau kerajaan.

Kedua, kekayaan yang disimpan beku boleh dilaburkan. Sesungguhnya ialam melarang pembekuan harta dan orang-orang yang membekukan harta akan dikenakan denda. Jadi, untuk mengelakkan daripada didenda umat islam akan menggunakan harta tersebut untuk aktiviti ekonomi dan juga melakukan pelaburan. Maka, zakat di sini juga dilihat sebagai penggalak kepada pelaburan.

Ketiga, zakat dapat mengurangkan bocoran dalam ekonomi. Lanjutan daripada larangan pembekuan harta, zakat dapat mengelakkan pembekuan harta dan menggalakkan pelaburan. Pembekuan harta dari sudut ekonomi merupakan bocoran dalam ekonomi. Bocoran berlaku apabila harta dan pendapatan yang diperolehi tidak dialirkan semula semula dalam ekonomi. Zakat dapat mengelakkan bocoran ini dengan cara mengambil sebahagian harta daripada golongan kaya untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan terutamanya asnaf fakir dan miskin. Akhirnya harta tersebut dapat dialirkan semula dalam kitaran ekonomi.

Keempat, dengan pengagihan zakat yang dilakukan, zakat dapat memperbaiki dan meningkatkan pola pengeluaran. Terutamanya pola pengeluaran bagi barang-barang keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan sebagainya. Wang zakat yang diagihkan kepada asnaf dan miskin tadi akan digunakan oleh golongan ini untuk membeli barang-barang tersebut. Dengan peningkatan dalam kuasa beli mereka setelah menerima bantuan zakat maka mereka mampu meningkatkan permintaan terhadap barang-barang dalam pasaran. Peningkatan dalam permintaan akan menggalakkan penawaran oleh pengeluar. Maka pengeluaran akan ditingkatkan untuk memenuhi permintaan tersebut.

Kelima, zakat merupakan musuh kepada sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis menekankan tentang keuntungan semata-mata. Mereka tidak menghiraukan halal dan haram serta melakukan monopoli dan pembekuan harta kekayaan. Semakin banyak keuntungan yang diperoleh, semakin banyak wang yang akan disimpan. Ini merupakan bocoran dalam ekonomi. Jadi zakat merupakan musuh kepada sistem ini.

Seterusnya, kelebihan zakat dapat dilihat dari aspek sosial. Pertama, hasil zakat tidak digunakan dengan cara sembarangan. Asnaf zakat telah ditetapkan iaitu dengan merujuk kepada ayat dalam surah at-taubah ayat 60:
60. Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Dalam ayat tersebut jelas diterangkan zakat hanya diagihkan kepada lapan golongan tersebut. Zakat tidak boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain. Hanya mereka yang berhak layak menerima wang zakat. Berbeza dengan cukai konvensional, tidak dapat dipastikan sama ada hasil cukai tersebut digunakan dengan sebenar-sebenarnya di tempat yang sepatutnya atau pun disalah gunakan.

Kedua, zakat sebagai takaful sosial. Dengan agihan yang dilakukan, zakat dapat memenuhi keperluan asas umat islam yang berada dalam keadaan susah. Gologan yang kurang berkemampuan yang termasuk dalam golongan asnaf dibantu sebaik mungkin. Namun begitu bantuan yang diberikan bukanlah bersifat selama-lamanya. Bantuan zakat mestilah dapat menggalakkan penerima bantuan untuk berusaha mengeluarkan diri mereka dari belenggu kemiskinan. Bantuan zakat ini tidak sepatutnya menjadikan mereka sebagai kumpulan manusia yang bergantung kepada bantuan zakat untuk meneruskan kehidupan. Dalam pelaksanaan sekarang, agihan zakat turut diberikan dalam bentuk bantuan modal perniagaan. Maka di sini zakat bukan sahaja membantu mencukupkan keperluan tetapi mendorong penerima supaya dapat keluar dari belenggu kemiskinan dan seterusnya keluar dari asnaf zakat.

Ketiga, zakat mampu meningkatkan kebajikan ekonomi ummah. Agihan yang dijalankan mampu untuk meningkatkan kuasa beli golongan asnaf. Bagi penerima agihan yang mempunyai lebihan daripada pendapatan mereka maka mereka mampu untuk menjalankan kegiatan ekonomi atau melakukan pelaburan menggunakan wang tersebut. Mereka turut mampu melakukan permintaan terhadap barang-barang keselesaan setelah berjaya memenuhi keperluan asas mereka menggunakan wang zakat. Secara tidak langsung, agihan zakat menyebabkan jurang kemiskinan dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, zakat mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan cukai. Namun begitu, tidaklah bermakna cukai tidak boleh dilaksanakan. Ia bergantung kepada pemerintah sesebuah negara. Apa yang penting, zakat wajib dilaksanakan. Sejauh mana kepentingannya kepada sesebuah negara bergantung kepada pemerintah. Tidak dinafikan juga cukai penting kepada kerajaan kerana cukai merupakan hasil pendapatan kepada kerajaan tetapi zakat bukanlah hasil pendapatan kepada kerajaan. Cukai perlu untuk membiayai pentadbiran kerajaan dan menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan sesebuah. Untuk itu, penulis mencadangkan agar zakat diletakkan sebaris dengan cukai dan perbelanjaan kerajaan dalam dasar fiskal negara. Kerana, zakat sudah mampu untuk menjaga kebajikan umat islam maka hasil cukai dapat digunakan dengan lebih banyak untuk menampung perbelanjaan kerajaan untuk program-program pembangunan negara.

Oleh:
Mohamad Saifudin bin Gahnehman
Jabatan Syariah dan Ekonomi
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Categories: Zakat
  1. aizat
    April 17, 2009 at 4:01 pm

    Saya seorang penerima bantuan Baitulmal, ini kerana keluarga saya tergolong dalam golongan miskin. Adakah golongan miskin juga perlu membayar zakat? ini kerana setiap tahun ayah saya akan membayar zakat bagi keluarga kami.

    • ustazsaifudin
      April 20, 2009 at 4:00 am

      bagi zakat fitrah ye

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: