Utama > Ibadah (umum) > Amalan di bulan Rejab dan Sya’ban

Amalan di bulan Rejab dan Sya’ban

Menuruti bulan Rejab dan Sya’ban ialah bulan Ramadhan. Seluruh umat Islam pastinya ternanti-nanti kedatangan bulan Ramadhan kerana pada ketika itulah seluruh umat Islam berusaha bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melakukan amal ibadah. Sebagai meraikan Ramadhan yang bakal menjelang umat Islam juga meraikan bulan Rejab dan Sya’ban. Banyak amal ibadat dilakukan sebagai penyambut kepada bulan Ramadhan.

Namun begitu, sebagai umat Islam kita tidak seharusnya melupakan bulan-bulan lain kerana segala perintah dan larangan Allah tetap berjalan selagi kita hidup di dunia ini. Adalah tidak wajar sekiranya  di bulan-bulan lain kita banyak melakukan maksiat dan menggunakan bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan untuk bertaubat seterusnya setelah selesai tiga bulan tersebut kita kembali melakukan kemungkaran.

Tidak dapat dinafikan bulan Ramadhan bulan yang mulia dan banyak kelebihannya. Begitu juga dengan bulan Rejab dan Sya’ban. Namun begitu, di akhir-akhir ini kita seringkali mendengar mendengar hadis-hadis palsu tentang bulan Rejab dan Syaaban. Individu-individu tertentu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian tertentu kemudiannya muncul di tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang salah tentang Islam di sana-sini. Fonomena ini mendukacitakan kita, akhirnya manusia mengambil agama daripada golongan jahil lalu mereka diselewengkan.

Bahkan bukan sahaja golongan yang tidak pernah mengikut pengajian Islam membuat kesalahan dalam memetik dan menghuraikan hadith bahkan ada di kalangan yang menggunakan lebel nama sebagai ustaz juga sering membuat kesalahan dalam persoalan memetik dan menghuraikan hadith-hadith Nabi s.a.w.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadith maka pastinya sahih dan wajib diimani. Dengan itu apa sahaja yang mereka jumpai daripada buku bacaan, yang dikatakan hadith maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith yang mutawatir:

 

       “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

 

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

 

       “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)

 

Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Sya`aban maka hadith-hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadith:

 

       “Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan: Maktabal-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria)

 

       Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Daral-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

 

       Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99)

 

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi agen menyebarkan hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

 

       Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu. Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sy`aaban ialah:

 

       “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

 

       Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.

 

Namun tidak salah sekiranya kita melakukan amalan-amalan berikut tanpa menyandarkan amalan-amalan tersebut kepada Nabi Muhammad S.A.W. Amalan-amalan tersebut sememangnya baik dan mendatangkan pahala. Majlis yang dilakukan pastinya akan menarik kedatangan umat Islam ke masjid dan surau. Pada malam nisfu Sya’ban jugalah masjid dan surau ini diimarahkan. Perkara positif ini tidak seharusnya dikatakan sebagai perbuatan bid’ah selagi ianya tidak disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. kita boleh melakukan apa sahaja amal ibadah dan amalan-amalan kebajikan yang lain tanpa perlu menuruti hadis-hadis palsu yang disampaikan kepada kita. Wallahu a’lam

 

 

About these ads
Categories: Ibadah (umum)
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: